Thursday, August 5, 2010

10 Jul 2010

LUAR NEGARA

ISU PROGRAM MOTIVASI ESQ
Tindakan Mufti Wilayah Persekutuan haramkan program dipersoal

Panel Syariah ESQ tegaskan tiada unsur penyelewengan

KUALA LUMPUR: Barisan Panel Syariah ESQ Leadership Center semalam mempersoalkan tindakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, yang memutuskan untuk mengharamkan program motivasi kendalian syarikat itu yang berkuat kuasa bulan lalu.

Salah seorang anggota panel itu, Datuk Noh Gadut, mempertahankan bahawa tiada unsur penyelewengan dalam program syarikat itu kerana barisan Panel Syariah yang ditubuhkan September lalu memantau dan menasihati perjalanan ESQ Leadership Center dari masa ke masa.

'Sebagai seorang bekas mufti, perlu ada etika disiplin yang harus dilaksanakan untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

'Ada beberapa etika yang sepatutnya menjadi panduan bagi seorang mufti atau ulama terutama ketika bercakap,' kata beliau, yang juga bekas mufti Johor, seperti yang dipetik dalam laporan laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Pandangan itu juga selari dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau dipetik oleh The Malaysian Insider sebagai berkata program ESQ itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam, dan tidak mempunyai unsur kesesatan.

Menurutnya, program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme, dan tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang diputuskan oleh muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lalu.

Datuk Noh dan Tan Sri Harussani berkata demikian sebagai mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengharamkan modul program berkenaan kerana mendapati ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) semalam melaporkan bahawa MAIWP memutuskan mengharamkan modul program motivasi anjuran ESQ, yang sudah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat serta para pegawai kerajaan, kerana ajarannya didapati menyeleweng.

Datuk Wan Zahidi dilaporkan menandatangani warta mengharamkan modul program motivasi itu pada 10 Jun lalu mengikut subseksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (WilayahWilayah Persekutuan) 1953, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak wilayah itu.

Mengikut warta yang disiarkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu, program ESQ yang diasaskan oleh warga Indonesia, Encik Ary Ginanjar Agustin, itu diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahamkan atau mentafsir nas agama (Al-Quran dan Sunah) dan fahaman pluralisme mengajar bahawa semua agama adalah sama.

Antara ciri penyelewangan lain, menurut MAIWP, termasuk mendakwa semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian, menyamakan bacaan Al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari dengan amalan Bushido masyarakat Jepun, dan mencampur-adukkan ajaran kerohanian bukan Islam dan Islam.

Ajarannya juga dikatakan menekankan konsep suara hati sebagai sumber rujukan utama menentukan baik atau buruknya sesuatu perbuatan, mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan konsep 'triple one' yang dianggap satu bidaah, dan mengingkari mukjizat serta menganggapnya tidak masuk akal atau sesuai pada zaman sekarang.

Bagaimanapun, Ketua Panel Syariah ESQ, Datuk Mustafa Abdul Rahman, yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), ketika ditukil oleh laman berita Malaysiakini, menyangkal dakwaan penyelewengan itu.

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pula mengingatkan umat Islam Malaysia supaya tidak terlalu melulu mengharamkannya.

'Jangan 'Talibanisasikan' (mengikut pendekatan Taliban) negara ini. Berhati-hatilah dengan pengharaman sesuatu perkara dan hak-hak rakyat,' kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

'Mungkin pejabat mufti Wilayah Persekutuan ada hujahnya sendiri. Tetapi kalau boleh dibaiki (ESQ), kita baikilah. Masalah-masalah teknikal ini boleh dibetulkan,' ujarnya.

Sementara itu, BHM semalam memetik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, sebagai berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti semula dan mendalami modul ESQ itu.

'Kami akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga, jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak, jika benar ada penyelewengan berlaku, kita terpaksa ambil tindakan,' kata beliau selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun semalam.

Menurutnya, Jakim ada rekod berhubung program yang dikendalikan ESQ itu dan akan memantau dari masa ke masa, katanya.


hurm...setelah lama dijalankan, ada pulak pihak yang mengharankannya. Haram atau tidak terpulanglah kepada isi-isi yang terkandung dalam topik ESQ. Wallahu a'lam~

No comments: